
SANDAKAN – Kemudahan sukan yang baik bukan sekadar ruang untuk bermain, tetapi berperanan sebagai platform membentuk disiplin, kepimpinan dan semangat kerjasama dalam kalangan belia.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata demikian menerusi kenyataan media pada Khamis susulan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan semula gelanggang futsal di Kampung Tinusa 2, di sini, di bawah inisiatif Projek Mesra Rakyat (PMR).
Katanya, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan riadah dan pembangunan sukan bagi golongan belia, khususnya di kawasan Parlimen Libaran.
“Projek ini bukan hanya menaik taraf infrastruktur sukan, malah mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan golongan muda tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
“Penyelenggaraan gelanggang futsal ini diyakini mampu memberi impak besar kepada anak muda tempatan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, selain mengeratkan hubungan dalam komuniti,” katanya.
Tambah beliau, pelaburan terhadap generasi muda hari ini adalah pelaburan jangka panjang ke arah masa depan negara yang lebih cemerlang dan sejahtera.





