
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Murray Hunter mencapai satu Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam susulan saman difailkan MCMC terhadap penulis blog itu berhubung kenyataan berunsur fitnah di platformnya.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, prosiding dalam talian itu berlangsung di hadapan Yang Arif Noor Hayati Mat.
“Perintah Persetujuan tersebut turut menjadi sebahagian daripada Perjanjian Penyelesaian bertarikh 12 Januari 2026, yang berkaitan prosiding jenayah terhadap Hunter di Thailand – juga berpunca daripada kenyataan fitnah terhadap MCMC,” katanya, pada Khamis.
Dalam prosiding itu, MCMC diwakili oleh Datuk Selva Mookiah dan Nurshafiqa Balqish Jaffri, manakala Hunter hadir mewakili dirinya sendiri.
Hunter sebelum ini telah membuat permohonan maaf terbuka dan menurunkan semua penerbitan berunsur fitnah daripada platformnya.
Beliau turut mengesahkan komitmen untuk tidak mengulangi penerbitan kenyataan serupa pada masa hadapan.
“MCMC memandang serius sebarang kenyataan palsu dan fitnah, dan akan terus mengambil langkah sewajarnya.
“Ini bagi melindungi integriti serta memastikan akauntabiliti berhubung penerbitan yang melulu dan tidak bertanggungjawab sedemikian,” katanya







