KETIKA wakil rakyat pembangkang berdiri di Parlimen melaungkan kononnya wujud jurang pembangunan antara wilayah, hakikat sebenar yang cuba disembunyikan ialah kegagalan mereka sendiri mengurus potensi negeri di bawah pentadbiran mereka.
Tuduhan bahawa kerajaan pusat ‘menganaktirikan’ negeri Pantai Timur hanyalah naratif politik basi untuk menutup kelemahan pentadbiran negeri yang dikuasai Pas dan Perikatan Nasional.
Fakta menjawab fitnah
Realitinya, sejak 2023 hingga 2025, Kerajaan MADANI menyalurkan pelbagai projek strategik bernilai berbilion ringgit di Pantai Timur:
Projek ECRL nadi ekonomi baharu yang menghubungkan pelabuhan Kuantan ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu, mencipta ribuan peluang pekerjaan.
Pelaburan komited RM4.3 bilion di Terengganu setakat September 2025 – sebahagian besarnya datang daripada usaha bersama MIDA dan agensi pusat.
Inisiatif BUDI95, SARA, dan MyKasih diagih secara menyeluruh tanpa mengira sempadan politik.
Semua ini membuktikan tiada negeri dianaktirikan, malah kerajaan pusat terus memperkukuh dasar pembangunan seimbang dan inklusif.
Isu bukan pada federalisme, tetapi pada tadbir urus negeri
Jika masih wujud jurang, persoalan utama bukan pada dasar pusat tetapi pada keupayaan kerajaan negeri mentadbir dan menarik pelaburan.
Selama bertahun-tahun, Terengganu di bawah Pas terlalu bergantung kepada hasil minyak, namun gagal membina ekonomi hiliran, industri kreatif, dan pelancongan berdaya saing.
Hasil negeri meningkat bukan kerana dasar negeri, tetapi kerana royalti petroleum yang disalurkan oleh kerajaan pusat itu pun kerap digunakan untuk projek retorik tanpa impak ekonomi sebenar.
Naratif politik lama, realiti baharu Malaysia MADANI
Ahli Parlimen Besut cuba menunggang sentimen ‘Pantai Timur terpinggir’ untuk meraih simpati politik. Namun, rakyat kini lebih bijak menilai.
Di bawah Malaysia MADANI, pembangunan dinilai berdasarkan keperluan rakyat, bukan warna parti. Negeri pembangkang tetap menerima manfaat daripada projek air, pelan tenaga boleh baharu, hingga ke program kebajikan rakyat.
Kerajaan MADANI tidak menafikan hak sesiapa, malah berusaha memperbetulkan ketidakseimbangan lama yang berpunca daripada kegagalan negeri mempelbagaikan sumber pendapatan.
Jangan sembunyi di balik isu, akui kelemahan diri
Cukup-cukuplah menjaja naratif kononnya Terengganu dipinggirkan.
Yang meminggirkan negeri bukan Putrajaya, tetapi pentadbiran negeri yang leka berpolitik dan gagal menjana daya saing ekonomi.
“Pembangunan bukan ditentukan oleh siapa di Putrajaya, tetapi oleh siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat.”
Kerajaan MADANI telah membuka jalan, memberi dana, menyediakan pelaburan kini giliran kerajaan negeri untuk membuktikan mereka layak mengurus kemajuan, bukan sekadar pandai menuding jari.






