
BEKENU – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh usaha memperkasakan masyarakat dalam aspek kesejahteraan dan pencegahan penyakit menerusi penganjuran Festival ‘Sihat Itu Saya’ yang berlangsung meriah di pekarangan RTC Bekenu, Parlimen Sibuti, pada Sabtu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni menegaskan bahawa kesihatan merupakan tanggungjawab bersama dan bermula daripada kesedaran individu.
“Festival ini bukan sekadar program kesihatan, tetapi cerminan komitmen berterusan KKM dalam memperkasakan komuniti serta membudayakan amalan hidup sihat dan kelestarian persekitaran melalui pelbagai aktiviti di lapangan,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.
Festival itu turut menghimpunkan pelbagai inisiatif kesihatan termasuk Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Hari Bertemu Pelanggan KKM, yang memberi peluang kepada masyarakat berinteraksi secara langsung dengan pegawai kesihatan, mendapatkan khidmat nasihat serta menjalani saringan kesihatan percuma.
Menurut Lukanisman, masyarakat perlu memberi tumpuan kepada lima amalan utama budaya hidup sihat iaitu kekal aktif, makan secara sihat dan selamat, kawalan kesihatan kendiri, minda positif, serta menjauhi rokok, vape dan tabiat tidak sihat.
“Transformasi kesihatan negara kini beralih daripada fokus rawatan kepada pencegahan. Kertas Putih Kesihatan 2023 menegaskan bahawa kesihatan adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan rakyat,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan mengenai pembinaan Wellness Hub Bekenu, sebuah pusat sehenti kesejahteraan komuniti yang kini dalam fasa akhir pembinaan dan dijangka beroperasi pada awal tahun depan.
“Penduduk Bekenu amat bertuah kerana kemudahan ini bakal menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti penilaian risiko kesihatan, rundingan gaya hidup sihat, pengurusan berat badan, aktiviti kecergasan serta kaunseling berhenti merokok,” ujarnya.
Beliau turut menekankan peranan MyCHAMPION, sukarelawan komuniti kesihatan yang menjadi duta dan penyampai maklumat kesihatan di peringkat akar umbi.

“Kesihatan komuniti tidak akan tercapai tanpa penyertaan aktif masyarakat sendiri. Pendekatan ‘Dari Komuniti, Oleh Komuniti, Untuk Komuniti’ adalah kunci kepada kejayaan ini,” tegasnya.
Menurut beliau, kekuatan sistem kesihatan negara bukan hanya bergantung kepada hospital dan klinik, tetapi juga kepada rakyat yang berpengetahuan, aktif dan celik kesihatan.
Festival ‘Sihat Itu Saya’ bukan sekadar platform mendekatkan masyarakat dengan perkhidmatan KKM, malah menzahirkan komitmen bersama antara kerajaan dan rakyat untuk membudayakan hidup sihat, demi kesejahteraan keluarga dan komuniti setempat.



