KETIKA sesetengah pihak masih ragu dan mempersoalkan hasil sebenar pelaburan asing yang diumumkan kerajaan, hari ini satu lagi bukti jelas telah terpampang, Ferrotec buktikan pelaburan bukan sekadar janji.
Menteri Pelaburan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Ferrotec Power Semiconductor, syarikat teknologi tinggi dari China, telah memulakan operasinya secara rasmi di Pasir Gudang, Johor bermula semalam, selepas pelaburan bernilai RM550 juta diluluskan.
“Ada yang kata, potensi pelaburan yang diumumkan tak nampak pun hasilnya?
“Tak betul tu! Hari ini kita buktikan lagi! Pelaburan diluluskan Ferrotec Power Semiconductor kini bukan sekadar potensi, malah telah menjadi realiti!
“Inilah bukti bahawa setiap usaha Kerajaan MADANI adalah permulaan kepada pelaburan yang bakal mengubah landskap ekonomi dan teknologi negara kita!” katanya dalam hantaran di Facebook.
Lebih membanggakan menurut Tengku Zafrul, Ferrotec dijangka mencatatkan nilai eksport tahunan mencecah RM600 juta, sekaligus menyumbang kepada pengukuhan ekonomi dan kedudukan Malaysia dalam industri semikonduktor serantau.
“Pelaburan mega ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pembuatan komponen berteknologi tinggi, malah ia juga mewujudkan 396 peluang pekerjaan baru yang boleh dimanfaatkan rakyat tempatan!
“Tak cukup dengan tu, Ferrotec juga bekerjasama dengan 35 vendor tempatan dalam rantaian bekalan mereka, melonjakkan ekosistem PKS tempatan kita!” katanya.







