MELAKA – Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, Datuk Fan Bingbing mengakui kagum dengan kehebatan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan berhasrat belajar menyanyi lagu Melayu daripada penyanyi nombor satu negara itu.
Fan berkata, pengalaman menyaksikan persembahan Biduanita Negara itu pada majlis pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, kelmarin, memberikannya inspirasi, sekaligus menganggap perjalanan seni Siti Nurhaliza sesuatu yang amat luar biasa.
“Aura pentas beliau sangat kuat dan saya kagum bagaimana Siti Nurhaliza mampu membuat persembahan penutup dengan penuh gemilang dan sudah tentu saya menantikan persembahannya.
“Untuk itu, saya sangat bertuah dapat bertemu dan bergambar dengannya dan jika berpeluang, saya mahu belajar nyanyi lagu Melayu dengan beliau, sekali gus menjadi satu bentuk kolaborasi budaya,” katanya, lapor Bernama.
Pelakon antarabangsa itu berkata, beliau teruja apabila berkesempatan memberi produk jenamanya kepada Siti sebagai tanda penghargaan.
Fan berkata, beliau bersedia untuk memperluaskan kolaborasi seni dengan artis antarabangsa dan tempatan, serta membantu mempromosikan Melaka ke peringkat antarabangsa susulan pelantikan semula sebagai Duta Pelancongan Melaka bagi Tahun Melawat Melaka 2026.
Katanya, kejayaan penganjuran aktiviti promosi tahun ini mendorongnya kembali ke negeri bersejarah itu dengan fokus memperkenalkan budaya, makanan, mural serta keramahan masyarakat Melaka kepada pelancong luar.





