PUTRAJAYA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melaksanakan Pelan Intervensi Pembekalan dan Pemasaran Hasil Pertanian secara besar-besaran di seluruh negara sebagai usaha meredakan tekanan kos sara hidup susulan krisis tenaga global.
FAMA menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil langkah agresif dengan memperkasakan Jualan Agro Madani (JAM) dengan tagline baharu “Jimat Dapur Rakyat”.
Menurutnya, insiatif tersebut sekali gus memberi isyarat jelas agenda penjimatan rakyat kini menjadi keutamaan utama kerajaan persekutuan.
“Sebanyak 2,399 sesi jualan akan dilaksanakan bermula April hingga September 2026 di pelbagai lokasi strategik termasuk Agrobazaar FAMA, Pusat Operasi FAMA serta premis seliaan agensi tersebut di seluruh negara.
“Pelaksanaan ini akan dijalankan secara berfasa, di mana Fasa 1 (April-Mei) melibatkan 872 sesi, manakala Fasa 2 (Jun-September) akan dipertingkatkan kepada 1,527 sesi,” katanya, pada Rabu.
Mengulas lanjut, FAMA memaklumkan, menerusi inisiatif Jualan Kombo Madani serta pelbagai jualan promosi, kumpulan sasar dijangka menikmati potongan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran tempatan.
Agensi kerajaan itu berkata, langkah itu selari dengan usaha Kerajaan MADANI dalam memastikan kestabilan rantaian bekalan makanan serta akses barangan asas kepada rakyat pada harga rendah di seluruh negara.
“Pada masa sama, pelan intervensi ini selari dengan komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan kestabilan rantaian bekalan makanan negara terus terjamin.
“FAMA akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dengan memperkukuh kerjasama bersama pengeluar, pemborong dan peruncit bagi memastikan bekalan makanan mencukupi serta mudah diakses rakyat.
“Usaha bersepadu ini juga menjadi sebahagian strategi jangka panjang untuk membina sistem makanan negara yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang krisis global pada masa hadapan,” katanya.




