
KETUA Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir pihak yang didakwa menggunakan kempen pemilihan parti tahun ini sebagai medan untuk menyebarkan maklumat yang tidak tepat atau palsu.
Menurut Fahmi, beliau memilih untuk tidak melayan tuduhan tidak berasas dan lebih menumpukan perhatian kepada kelancaran proses pemilihan demi kestabilan dan masa depan parti.
“Saya kesal sebab apabila diberi pentas, kadang-kadang maklumat tidak tepat, tidak betul disampaikan. Sebagai contoh dakwaan mengatakan biro politik telah bersetuju tidak membuat pemilihan tahun ini, itu tidak betul.
“Semasa kempen pemilihan berjalan, ia berjalan dengan baik tanpa sebarang isu, tetapi seminggu dua ini jadi hiruk-pikuk, sedangkan kita mahu damai,” katanya ketika berucap pada majlis Grand Finale: Bersama Membina Parti Kita yang diadakan di Hotel dan Resort KSL di Johor Bahru pada
Beliau turut menyatakan bahawa proses kempen sebelum ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah, namun beberapa minggu kebelakangan ini situasi menjadi tegang, sedangkan matlamat utama adalah untuk mengekalkan keharmonian dalam parti.
Pada masa sama, Fahmi turut mengingatkan calon-calon yang bakal memenangi jawatan penting agar terus mendampingi ahli-ahli di peringkat akar umbi dan tidak menjauhkan diri selepas menang.
Katanya, hubungan erat dengan akar umbi sangat penting kerana dalam tempoh dua tahun akan datang, PKR bakal berdepan cabaran besar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.



