
MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan ke-80 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.
Beliau antara 98 individu yang menerima darjah dan bintang kebesaran pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Alam Shah, di Shah Alam.
Selain Fahmi, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail dikurniakan darjah kebesaran sama yang membawa gelaran Datuk bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita daripada keseluruhan 16 penerima DPMS.
Terdahulu, Sultan Selangor berkenan berangkat bagi mengurniakan darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena hari keputeraan baginda.
Berangkat sama, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta isteri Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Pada istiadat itu, anakanda Sultan Sharafuddin, iaitu Tengku Zerafina mendahului senarai penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena hari keputeraan ke-80 baginda.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi dan Komuniti (JKOM) Datuk Ismail Yusop mengucapkan tahniah kepada Fahmi atas pengurniaan darjah kebesaran daripada Sultan Selangor.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil atas pengurniaan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ Paduka oleh Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 11 Disember 2025,” katanya di media sosial.








