
KOTA KINABALU – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai anggota Kabinet Persekutuan susulan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes Semakan Kehakiman berkaitan hak 40 peratus hasil Sabah.
Dalam kenyataan menerusi Facebook beliau pada Sabtu malam, Ewon berkata, beliau tidak dapat bersetuju dengan pandangan dan pendirian AGC seperti dinyatakan dalam penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, yang menurutnya mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia dan syarat penyertaan Sabah berdasarkan dokumen asas perlembagaan.
“Pendirian dan pandangan AGC sepertimana dinyatakan dalam penghakiman bertulis antaranya mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang mencakupi syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia,” katanya.
Ewon berkata, beliau berpegang kepada prinsip perjuangan UPKO yang berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak Sabah termasuk pelaksanaan 40 peratus hasil negeri sebagaimana termaktub dalam Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
“AGC merupakan penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.
“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka,” katanya.
Ewon menjelaskan, pendekatan AGC terhadap isu 40 peratus hasil Sabah sepanjang tiga tahun beliau berada dalam Kabinet adalah bertentangan dengan pendirian beliau sebagai Presiden UPKO.
“Saya kekal dengan pendirian agar AGC seharusnya tidak memfailkan rayuan, sebaliknya memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah untuk melaksanakan hak 40 peratus tersebut,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa beliau sebelum ini pernah memfailkan Saman Pemula terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berhubung isu sama pada Jun 2022, sebelum menarik semula tindakan itu pada September 2023 selepas wujud rundingan lanjut.
“Sebagai Presiden UPKO, saya ingin melihat hak Sabah tersebut dilaksanakan.
“Itu adalah prinsip dan sebab saya menyertai politik,” ujarnya.
Ewon berkata, beliau akan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memaklumkan peletakan jawatannya daripada Kabinet Persekutuan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas ruang kerjasama dalam Kabinet yang telah membolehkan beliau memperjuangkan hak Sabah di peringkat nasional.
Ewon turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO akan diadakan pada Isnin depan bagi membincangkan pelaksanaan agenda ‘Sabah First’ sebagai hala tuju utama parti.





