
TAWAU – Selaras prinsip ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, ESSCOM berjaya melaksanakan 5.2 juta pemeriksaan fizikal terhadap individu, bot dan kenderaan sejak Januari 2020 hingga 28 Februari lepas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi tempoh itu, ESSCOM berjaya menahan 1,907 individu dan merampas 1,118 buah kenderaan serta bot atas pelbagai kesalahan dianggarkan hampir RM90 juta.
“Nilai rampasan tertinggi daripada penyeludupan barang kawalan dan tidak bercukai berjumlah RM55 juta manakala selebihnya merupakan rampasan dadah dan barang milik PATI.
“ESSCOM turut mengusir 1,890 PATI bersama-sama 294 buah kapal atau bot yang cuba masuk secara haram melalui kawasan sempadan perairan negara.
“Perkara ini adalah hasil ikhtiar ESSCOM yang bertindak sebagai koordinator dalam operasi-operasi keselamatan di ESSZone,” katanya dalam program Penerapan Nilai-nilai Murni dan Ihya Ramadan bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-12 ESSCOM di Masjid Al-Falah Kampung Baru Pasir Putih, di sini, pada Sabtu.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Saifudin juga menyeru masyarakat sentiasa berwaspada dan bekerjasama dalam menyalurkan
maklumat yang berkaitan dengan keselamatan kepada pihak berkuasa.
“Dengan suasana yang lebih stabil dan selamat, saya percaya kita dapat membina komuniti yang lebih maju dan sejahtera, sekali gus memastikan Tawau dan kawasan ESSZone menjadi tempat yang makmur untuk semua.
“Dalam usaha kita memastikan
keselamatan dan keamanan kawasan ini, adalah penting untuk kita semua sedar bahawa tugas ini bukan hanya terletak di bahu pasukan keselamatan semata-mata.
“Keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan untuk merealisasikan hasrat ini sudah tentu memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pasukan keselamatan dan masyarakat setempat,” jelasnya.
Program berkenaan turut menyantuni 30 asnaf dan anak yatim menerusi sumbangan Bakul Rahmah RT Cares.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Makhzan Mahyuddin; Timbalan Mufti Sabah, Ustaz Abdul Razak Hamdin; Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis Datuk Victor Sanjos; Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali dan ADUN Kukusan, Datuk Rina Jainal.






