
LAHAD DATU – Eastern Sabah Security Commad (ESSCOM) dan Jabatan Perikanan Malaysia, Sabah terus memperhebat penguatkuasaan dan libat urus dalam usaha membanteras aktiviti bom ikan khususnya di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor Sanjos berkata, ini termasuk operasi secara bersepadu dengan beberapa agensi berkaitan di kawasan hotspot yang menjadi lokasi berlakunya kegiatan tersebut.
“Kita juga adakan sesi libat urus di lokasi-lokasi tumpuan dengan mengadakan kempen kesedaran bertemakan ‘Katakan Tidak kepada Bom Ikan’ selain menggunakan saluran radio tempatan supaya seluruh komuniti maritim sedar mengenai kesan negatif sekiranya kegiatan ini tidak dibanteras dengan jayanya.
“Langkah itu antara lain bertujuan mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak berurusan atau memulaukan penjual-penjual ikan yang menjual hasil tangkapan ikan yang ditangkap menggunakan bom ikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Selasa selepas menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Dr. Shuhadah Mustapha di pejabat ESSCOM.

Menurut Victor, aktiviti pengeboman ikan yang dilihat membawa ancaman kepada pemuliharaan khazanah laut khasnya batu-batu karang yang begitu penting kepada sektor pelancongan negara.
Katanya, tanggungjawab untuk membasmi kegiatan bom ikan ini tidak hanya terletak dibahu pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasa sahaja termasuk Jabatan Perikanan.
“Komuniti Maritim di kawasan ESSZSONE perlu memainkan peranan membantu pasukan penguatkuasa termasuk menjadi mata dan telinga melaporkan kegiatan ini, sekali gus memastikan tindakan pencegahan dapat dilaksanakan dengan segera.
“Seluruh penduduk ESSZONE perlu sedar bahawa khazanah alam dan ekosistem laut ini perlu dijaga dengan sebaiknya bagi meningkatkan taraf sosiekonomi masyarakat yang bergantung dengan hasil tangkapan laut selain penting bagi sektor pelancongan,” jelasnya.
Sementara itu, Shuhadah menzahirkan setinggi penghargaan kepada Komander ESSCOM atas kerjasama baik dalam membanteras aktiviti pengeboman ikan khususnya di kawasan ESSZONE.
“Aktiviti ini perlu dihentikan bagi memelihara ekosistem dan khazanah laut yang begitu penitng kepada pihak kerajaan negeri kerana ianya berkait rapat dengan sektor pelancongan.
“Banyak kesan negatif sekiranya kegiatan ini tidak dibendung termasuk kemusnahan ekosistem laut yang akan memberi kesan kepada pembiakan ikan yang menjadi habitat penting kepada sektor perikanan dan pelancongan,” katanya.




