
KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan empat pegawai awam sebuah badan berkanun persekutuan dan dua pekerja syarikat agensi pelancongan kerana disyaki terlibat dalam tuntutan palsu pembelian tiket kapal terbang membabitkan nilai lebih kurang RM1.3 juta.
Menurut sumber, semua suspek terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita berusia antara 30 tahun hingga 50 tahun ditahan kira-kira pukul 9.30 malam, pada Isnin ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mendapati tuntutan berkenaan dibuat menggunakan waran perjalanan udara, namun butiran penerbangan dipercayai dipalsukan dan tiada tiket penerbangan sebenar dibekalkan kepada pegawai serta kakitangan terlibat,” katanya.
Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan penangkapan berkenaan dan memaklumkan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini pada Isnin.
Tambahnya, permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Selasa bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Beberapa siri tangkapan akan dibuat pada masa akan datang berdasarkan perkembangan siasatan kes,” ujarnya.





