KUALA KANGSAR – Penantian keluarga selama empat hari terjawab apabila seorang lelaki yang dikhuatiri hilang sejak Jumaat lalu, ditemukan mati lemas di Sungai Chempias, berhampiran Rumah Kanak-kanak Sultan Abdul Aziz, di sini pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi pencarian dibuat sejak Isnin, selepas keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa.
Jelasnya, mangsa, Nor Affendi Yusoff, 35, ditemukan pasukan penyelamat kira-kira satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) kira-kira jam 1.33 tengahari.
“Kita menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada 23 Disember (semalam) selepas keluarga mangsa membuat laporan polis.
“Mereka mendakwa mangsa hilang dan tidak pulang ke rumah sejak 20 Disember lagi.
“Pihak polis memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar berhubung kes ini dan operasi dimulakan di Sungai Chempias sejak semalam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Sabarodzi, pihaknya melakukan pencarian di Sungai Chempias di mana merupakan lokasi mangsa dipercayai jatuh berdasarkan malumat diberikan pihak polis.
“Kira-kira jam 1.33 tengah hari, kita berjaya mengesan mangsa.
“Lokasi ditemukan di Sungai Chempias berdekatan Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz,” ujarnya.
Sehubungan itu, anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menaikkan mangsa dan menyerahkannya kepada polis bagi tindakan lanjut.







