[DIKEMAS KINI] KOTA KINABALU – Ekonomi Sabah terus menunjukkan perkembangan positif apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri meningkat daripada RM82.1 bilion pada 2022 kepada RM83.2 bilion pada 2023.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peningkatan itu adalah selari dengan KDNK nasional yang dijangka meningkat sebanyak 2.5 peratus melalui Rangka Kerja Ekonomi MADANI di bawah Belanjawan Nasional 2025.
“Ini menunjukkan momentum peningkatan berterusan dan perkembangan positif di Sabah.
“Kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat pelbagai pihak di negeri ini,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTNg) di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.

Justeru itu, Hajiji menggesa semua agensi berkaitan supaya memastikan semua inisiatif dan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dilaksanakan bagi meransang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Negeri juga merangka Hala Tuju Pembangunan Strategik Negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sebagai satu langkah proaktif untuk memacu ekonomi dan pembangunan negeri Sabah bermula 2026 hingga 2030.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus bergerak aktif dalam memastikan pembangunan Sabah kekal berada di landasan yang progresif walaupun Kerajaan Negeri telah mencapai pelbagai kejayaan menerusi pelaksanaan inisiatif Hala Tuju SMJ.
Tambahnya, bajet nasional sebanyak RM6.7 bilion untuk negeri Sabah membuktikan bahawa suara rakyat dan pemimpin Sabah didengari di peringkat persekutuan.
“la juga menunjukkan bahawa kami sangat serius dan akan berusaha untuk meningkatkan pembangunan negeri,” katanya.






