
PUTRAJAYA – Ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat 2025 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus mengatasi unjuran awal yang diumumkan sebelum ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pencapaian itu menunjukkan prestasi ekonomi negara berada pada landasan kukuh dan melepasi jangkaan asal.
“Ini merupakan satu pencapaian yang cukup positif. Apa yang dimaklumkan kepada Jemaah Menteri, pertumbuhan sebenar bagi suku keempat 2025 bukan 5.2 peratus tetapi 6.3 peratus,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pertumbuhan keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2025 turut disemak naik berbanding anggaran awal.
“Secara keseluruhan bagi tahun 2025, ia telah meningkatkan kadar pertumbuhan KDNK dari 4.9 peratus, iaitu jangkaan awal, kepada 5.2 peratus.
“Ini juga lebih tinggi jika dibandingkan dengan kadar pertumbuhan KDNK 2024 iaitu 5.1 peratus. Antara sektor yang menyumbang pertumbuhan paling tinggi adalah sektor pembinaan sebanyak 11 peratus,” katanya.
Beliau turut memaklumkan prestasi Bursa Malaysia kini berada pada paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, manakala ringgit disenaraikan antara 10 mata wang terbaik di Asia.
Tambahnya, kadar inflasi kekal rendah pada 1.4 peratus dan defisit fiskal direkodkan pada 3.7 peratus, lebih baik daripada unjuran 3.8 peratus.
Dalam kenyataan berasingan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan pertumbuhan KDNK suku keempat sebanyak 6.3 peratus itu adalah yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun serta mengatasi anggaran awal.
Media sebelum ini melaporkan pertumbuhan tersebut disokong oleh peningkatan aktiviti pelancongan semasa cuti umum dan cuti persekolahan, perbelanjaan pendidikan susulan pelarasan kalendar akademik 2026, perbelanjaan musim perayaan, kestabilan pasaran buruh serta momentum pelaburan yang berterusan.






