
KOTA KINABALU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan berkuat kuasa 6 Oktober, hari ini.
Pembubaran itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semasa sidang media sempena Majlis Perjumpaan bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat Kerajaan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, pada Isnin petang.
Beliau yang juga Presiden Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, keputusan ini mencerminkan komitmen terhadap demokrasi dan proses perlembagaan.
“Memandangkan tempoh lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 akan berakhir, saya telah menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada pagi ini untuk menasihatkan pembubaran DUN Sabah.
“Dengan perkenan Tun, Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 akan dibubarkan berkuat kuasa hari ini, Isnin, 6 Oktober.
“Ini memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 dan memberi kuasa kepada rakyat Sabah menggunakan hak demokrasi mereka untuk menentukan siapa yang akan memimpin mereka.
“Keputusan ini mencerminkan komitmen kami terhadap demokrasi dan proses perlembagaan,” katanya.
Selepas pengesahan ini, pilihan raya negeri dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 60 hari.