
MIRI — Dua individu disahkan maut selepas rentung dalam satu kejadian kebakaran yang melibatkan kuarters pekerja di Kuarters Woodman, Estate Hostel Baram, di sini awal pagi Ahad.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 5.59 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.20 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah struktur kuarters kayu berkembar setingkat, terdiri daripada satu blok dengan dua unit pintu, berkeluasan dianggarkan 40 x 30 meter persegi, yang telah terbakar sepenuhnya.
“Unit A kuarters berkenaan yang dihuni oleh seorang lelaki dan seorang wanita dewasa didapati rentung di lokasi kejadian. Kedua-dua mangsa telah dikenal pasti dan berusia 37 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Unit B yang didiami oleh lima orang dewasa dan seorang kanak-kanak berjaya menyelamatkan diri semasa kebakaran berlaku dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kerja-kerja pemadaman awal telah dilakukan oleh pekerja ladang menggunakan 30 unit alat pemadam api serta tiga unit pam air, menyebabkan api berjaya dipadamkan sepenuhnya sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, tindakan yang diambil adalah pemantauan keselamatan bagi memastikan tiada risiko api merebak semula sebelum kawasan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Operasi tersebut melibatkan seramai 10 orang anggota bomba dengan kekuatan jentera sebuah FRT, sebuah EMRS dan sebuah DMAX, dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.16 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.







