
LIMBANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Limbang mengambil tindakan tegas terhadap dua peniaga yang didapati melanggar peraturan penjualan barang kawalan semasa operasi Ops Sama yang dijalankan dari 11 hingga 15 Oktober 2024.
Menurut kenyataan Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin, operasi ini dilaksanakan berdasarkan aduan orang awam tentang penyelewengan yang berlaku di beberapa premis perniagaan di daerah tersebut.
“Di premis pertama, peniaga didapati mengenakan syarat tambahan dalam penjualan gula pasir kasar 1 kilogram,” kata Matthew.
Jelas Matthew, setiap bungkus gula yang berharga RM2.85 dikenakan caj tambahan RM0.50 untuk beg plastik tanpa mendapat kebenaran dari Pengawal Bekalan.
“Tindakan ini melanggar undang-undang yang melarang penjualan barang kawalan secara bersyarat,” ujar Matthew.
Tambah Matthew, pemeriksaan di premis kedua mendapati peniaga menyorok sebanyak 324kg gula pasir kasar di stor perniagaannya.
“Ketika pegawai penguat kuasa melakukan uji beli, peniaga tersebut mendakwa stok gula mereka telah habis namun penemuan stok di stor menunjukkan tindakan penyembunyian bekalan,” jelas Matthew lagi.
KPDN Limbang membuka dua kertas siasatan terhadap peniaga terbabit dan mereka disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyorok bekalan gula pasir dengan Seksyen 19 akta yang sama kerana mengenakan syarat dalam penjualan barang kawalan.
Jika disabitkan kesalahan, hukuman bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan didenda maksimum RM2 juta untuk kesalahan pertama dan hingga RM5 juta bagi kesalahan berulang.
Bagi individu, hukuman juga didenda hingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun untuk kesalahan kedua.
Pihak KPDN juga menyeru masyarakat untuk terus bekerjasama dengan menjadi ‘mata dan telinga’ dalam melaporkan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.
Aduan boleh disalurkan melalui beberapa saluran termasuk WhatsApp, portal e-aduan, call center dan aplikasi Ez ADU KPDN.






