KUANTAN – Perjalanan lapan sekeluarga menziarahi ibu saudara di hospital bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kereta dinaiki merempuh lori di Kilometer (KM) 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat Kampung Chegar Perah, dekat Lipis, pagi tadi.
Mangsa, Roslawati Mat Daud, 50, iaitu isteri kepada pemandu kereta serta Aqif Azfar Azman, 6, anak kepada penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kemalangan kira-kira jam 5.30 pagi itu membabitkan kereta jenis Proton Persona dan lori.
Menurutnya, hasil siasatan awal pemandu lori iaitu lelaki berusia 33 tahun bersama kelindan, dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Ketereh, Kelantan untuk menghantar perabot.
“Kereta dipandu lelaki berusia 45 tahun bersama tujuh ahli keluarga lain dari Klang, Selangor dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu untuk menziarah ibu saudara mereka.
“Apabila sampai di tempat kejadian, lori terbabit berhenti di susur jalan kerana pemandu mahu membuang air.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ismail memaklumkan, kanak-kanak lelaki yang maut dipercayai berada di pangkuan bapanya di tempat duduk penumpang hadapan.
“Penumpang belakang, iaitu isteri pemandu turut maut akibat kemalangan itu.
“Pemandu dan lima lagi ahli keluarga yang berada dalam kenderaan tersebut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut,” katanya.
Pemandu dan kelindan lori berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.






