
LAHAD DATU – Dua maut manakala empat cedera dalam kemalangan berasingan membabitkan motokar dan motosikal di sini, pada awal pagi dan tengah hari Ahad.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan pertama berlaku kira-kira pukul 3.20 pagi di lampu isyarat Jalan Pantai.
Katanya, siasatan mendapati sebuah motokar dipandu lelaki warga Indonesia berumur 53 tahun bersama empat penumpang dari arah bulatan Mahkamah Majistret ke Jalan Pantai.
“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan tersebut berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki warga tempatan bersama seorang penumpang dari arah bandar Lahad Datu ke lampu isyarat berkenaan.
“Seorang penumpang motokar meninggal dunia di lokasi kejadian, pemandu dan tiga penumpang dari kenderaan sama cedera sementara pemandu dan penumpang motokar tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Dalam nahas berasingan, Dzulbaharin berkata kejadian membabitkan sebuah motosikal dan motokar di Kilometer 9 Jalan Lahad Datu-Sandakan pukul 12.50 tengah hari.
“Siasatan mendapati motosikal ditunggang lelaki warganegara berumur 41 tahun dari arah Lahad Datu ke Sandakan cuba memotong sebuah kenderaan lalu tergelincir dan terjatuh di lorong bertentangan.
“Pada masa yang sama, sebuah motokar dipandu lelaki warganegara berumur 23 tahun bersama dua penumpang dari arah Sandakan ke Lahad Datu telanggar motosikal tersebut.
“Penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian,” tambahnya.
Menurut Dzulbaharin, kesemua mangsa terlibat dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut manakala mayat kedua-dua mangsa dibawa ke hospital menggunakan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, sampel darah kesemua pemandu diambil bagi tujuan ujian dadah dan alkohol dan kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau juga menyeru mana-mana individu melihat kejadian itu untuk menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Humaidi Harun di talian 089 881255 atau ke Balai Polis berdekaran.
“Orang ramai dinasihati agar berhati-hati dan berhemah agar tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan yang lain terutama di musim perayaan dan keadaan jalan yang licin pada musim hujan,” tegasnya.






