
TAWAU – Mahkamah Majistret Tawau pada Rabu menjatuhkan hukuman terhadap dua lelaki selepas mengaku bersalah kerana cuai memandu sehingga menyebabkan kemalangan, pada 16 Jun dan 10 Ogos lepas.
Tertuduh Pared Mappa, 59, dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM5,300 sementara Ary Fadzly Faizal, 22, didenda sebanyak RM6,700.
Mereka dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dihukum penjara masing-masing empat dan lima bulan sekiranya gagal membayar denda selain lesen memandu diendors (dibuat catatan).
Mengikut fakta kes, Pared memandu tanpa cermat menyebabkan kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal yang mengakibat penunggangnya mengalami kecederaan parah dalam kejadian
berhampiran Taman Fortuna di Jalan Kuhara, kira-kira pukul 9.40 malam.
Sementara itu, Ary didakwa tanpa cermat memandu kenderaannya sehingga terbabas dan mengakibatkan kerosakan pada dinding serta pencawang Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di pembahagi tengah jalan kira-kira pukul 4 pagi di simpang Jalan Dominic.
Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh di penjara tidak melebihi 12 bulan dan denda sehingga RM10,000.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.





