
KOTA KINABALU – Dua lagi wanita ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh di Indah Permai susulan penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan tempat pembuangan sampah pekan Indah Permai, Menggatal pada 12 Februari lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kedua-dua wanita tersebut adalah warga tempatan, masing-masing berumur 29 tahun dan 21 tahun.
“Tangkapan dibuat di kawasan Sepanggar dan Inanam bagi membantu siasatan lanjut.
“Kedua-dua wanita tersebut merupakan anak kepada suspek utama dan ditahan bagi membantu siasatan berhubung peranan serta pengetahuan mereka berkaitan kejadian ini.
“Turut dirampas dalam operasi tersebut beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes termasuk telefon bimbit, pakaian, sepasang sarung tangan, satu bilah parang berukuran lebih kurang 27 inci serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail,” katanya dalam kenyataan media, di sini pada Ahad.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional.
Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.





