KUANTAN – Dua kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Raub dipenjara tujuh hari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah melakukan pecah amanah antara tahun 2020 dan 2021.
Tertuduh, Tengku Ashraf Shah Tengku Yahya dan Zuriani Abdul Rahim @ Abdul Rahman, masing-masing berusia 41 tahun membuat pengakuan itu di hadapan hakim Sazlina Safie di Mahkamah Sesyen 2 Kuantan, hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara bulan Jun 2020 hingga Februari 2021 di pejabat JKM Raub.
Mereka didakwa mengemukakan penyata agihan bantuan am berjumlah RM78,000 bagi tempoh tersebut kepada ketua cawangan JKM Raub, sedangkan bantuan itu tidak diagihkan kepada 20 penerima seperti dituntut.
Pendakwaan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammad Asraf Mohamed Tahir.
Dalam prosiding hari ini, Tengku Ashraf Shah diwakili peguam, Shahidah Muslimah Roslan, manakala Zuriani pula diwakili As’ad Mohd Ghani.
Hakim turut memutuskan penjara dua bulan jika kedua tertuduh gagal membayar denda seperti ditetapkan mahkamah.
Manakala tertuduh kedua pula diarah menyerahkan harta alih miliknya kepada mahkamah susulan pengakuan bersalah dibuat itu.




