
PUTATAN – Dua anggota bomba cedera terkena renjatan elektrik ketika memadam kebakaran rumah yang berlaku di Jalan Pantai Berahi, Petagas di sini pada malam rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu pada pukul 11.59 malam.
Katanya, pegawai bomba yang terlibat kecederaan, Amran Amir, 34, terpaksa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) oleh jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
“Manakala seorang lagi, Pegawai Bomba Kanan II, Sharif Faizul, 38, menerima rawatan di lokasi berkenaan oleh pasukan EMRS.
“Bagaimanapun kedua-dua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Menurut Sherriyana, terdahulu seramai 37 anggota bomba dari BBP Putatan dibantu BBP Penampang dan Kota Kinabalu bersama empat jentera digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi enam minit kemudian, didapati kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah atas kedai tingkat empat terbakar sepenuhnya.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan tiga aliran 300 kaki, empat pancutan dan sumber air daripada pili bomba berdekatan dan jentera ‘water tanker’ bomba.
“Pemadaman itu dilakukan pasukan bomba menggunakan teknik ‘offensive’ dan ‘defensive’.
“Tiada mangsa awam terlibat dilaporkan dalam kejadian itu, seterusnya operasi dapat dikawal pada pukul 12.40 tengah malam dan ditamatkan pada pukul 1.40 pagi,” ujarnya.





