Doktrin Struktur Asas: Legasi Kehakiman atau Mitos Konstitusional?

Kekeliruan Asas tentang Keperluan BSD

Ganesan meletakkan BSD sebagai “kunci terakhir” yang menyelamatkan Malaysia daripada keruntuhan perlembagaan. Tetapi beliau mengabaikan persoalan paling asas: siapa yang menentukan apakah kandungan struktur asas itu? Dan berdasarkan apa?

BSD tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia juga tidak dinyatakan oleh Suruhanjaya Reid, mahupun didukung oleh referendum awam. Ia muncul hasil interpretasi kehakiman yang kontroversial – yang membolehkan hakim menilai dan membatalkan pindaan Parlimen berdasarkan nilai-nilai yang tidak dinyatakan dalam teks.

Analoginya bahawa Parlimen boleh menjadi ‘tiran’ tanpa BSD juga tidak seimbang. Malaysia adalah negara perlembagaan dengan semakan institusi yang jelas – Parlimen, Raja-Raja, mahkamah dan badan awam. Ia bukanlah sebuah negara majoritarian tanpa sempadan undang-undang.

Tafsiran Terpilih terhadap Preceden India

Ganesan memetik kes Kesavananda Bharati sebagai sandaran utama. Namun beliau tidak menyentuh kritikan mendalam terhadap kes itu, termasuk hakikat bahawa keputusan itu dibuat dengan nisbah 7-6 dan tidak sepakat dari segi alasan undang-undang. Ia telah menimbulkan kekaburan dalam sistem perundangan India selama beberapa dekad.

Lebih relevan, kes Anjum Kadari (2024) di Mahkamah Agung India menolak penggunaan BSD untuk membatalkan statut kecuali berlaku pelanggaran nyata terhadap peruntukan perlembagaan. Ini menolak versi BSD yang bersifat abstrak dan tidak terkawal – seperti yang kini cuba dipopularkan di Malaysia.

Model Perbandingan yang Tidak Setara

Memetik model dari Jerman, Kenya, atau Kanada adalah tidak sesuai tanpa mengambil kira konteks tempatan. Jerman mempunyai klausa keabadian secara tekstual. Kenya memperuntukkan referendum untuk perubahan besar. Kanada pula memperlakukan prinsip tidak bertulis sebagai panduan, bukan sebagai asas pembatalan statut.

Perlembagaan Malaysia tidak mengandungi ciri-ciri ini. Tiada klausa keabadian, tiada referendum, dan tiada doktrin supremasi kehakiman. Perkara 3, 153, dan kedudukan Raja-Raja Melayu menampilkan satu sistem yang unik – dan luar daripada imaginasi doktrin liberal-kosmopolitan yang cenderung dibawa oleh penyokong BSD.

Implikasi Institusi dan Kekaburan Kuasa

Antara implikasi paling ketara BSD ialah peningkatan ketidaktentuan institusi. Dalam kes seperti Semenyih Jaya, Indira Gandhi, dan Dhinesh Tanaphll, mahkamah bertindak mentafsir semula peruntukan dengan alasan ‘struktur asas’, meskipun tanpa asas tekstual yang kukuh. Ini membuka ruang kepada, litigasi bersifat politik, dan percanggahan dalam amalan kehakiman.

Lebih membimbangkan, wujud kecenderungan ideologi yang dilihat hanya mempertahankan unsur liberal yang sejajar dengan tafsiran Barat, sementara komponen teras dalam Perlembagaan seperti Perkara 3 dan 153 tidak diberikan perlindungan serupa di bawah BSD.

Legitimasi dan Akauntabiliti

Isu sebenar yang diangkat oleh pengkritik BSD – termasuk bekas Ketua Hakim Tun Hamid Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali – ialah persoalan legitimasi: patutkah hakim yang tidak dipilih secara demokratik diberikan kuasa membatalkan undang-undang berdasarkan tafsiran subjektif terhadap ‘struktur asas’ yang tidak tertulis?

Ganesan menjawab ini dengan menyamakan ‘campur tangan kehakiman’ dengan ‘kedaulatan undang-undang’. Tetapi dalam tradisi perlembagaan yang sihat, kedaulatan undang-undang tidak boleh bermakna pemerintahan oleh kehakiman tanpa batas.

Keseimbangan antara Perlindungan dan Kuasa

Sekiranya kehakiman ingin terus dihormati, ia mesti kembali kepada prinsip kejelasan teks, niat penggubal, dan sempadan institusi. BSD, jika diteruskan, perlu diperjelaskan dan dihadkan – bukan dimuliakan sebagai agama baharu perundangan.

Apa yang kita perlukan bukan “kunci terakhir pada kotak Pandora”, tetapi pintu yang terbuka kepada pertanggungjawaban, ketelusan, dan penghormatan kepada kehendak rakyat dalam kerangka yang sah.

*Penulis adalah seorang peguam bela dan peguam cara, dan terlibat secara aktif dalam wacana perundangan dan perlembagaan di Malaysia

Related Posts

Subsidi untuk rakyat, bukan untuk ketirisan: Fakta yang perlu diketahui

KENYATAAN terbaharu Timbalan Ketua Penerangan Pas Terengganu, Dr Tengku Mohammad Fakhruddin yang cuba menggambarkan kenaikan harga diesel sebagai bukti kerajaan tidak berempati terhadap rakyat sebenarnya adalah naratif politik yang tidak…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Harga minyak dunia: Siapa sebenarnya menipu umat Islam?

KALI ini, rakyat perlu bertanya semula siapa sebenarnya yang sedang menipu umat Islam? Apabila harga minyak dunia meningkat, semua negara terkesan. Negara kaya, negara miskin, negara Islam, negara bukan Islam…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

11 warga Indonesia direman kes samun bersenjata

11 warga Indonesia direman kes samun bersenjata

Rasionalisasi subsidi petrol kurangkan beban fiskal negara

Rasionalisasi subsidi petrol kurangkan beban fiskal negara

70% kopi, biskut kontroversi sudah ditarik dari pasaran

70% kopi, biskut kontroversi sudah ditarik dari pasaran

PDRM sahkan tiada penglibatan SPRM dalam kes mafia korporat

PDRM sahkan tiada penglibatan SPRM dalam kes mafia korporat

Segera umumkan pakej rangsangan ekonomi

Segera umumkan pakej rangsangan ekonomi

Pengakap Malaysia nafi terlibat kes rasuah penganugerahan pingat di Perlis

Pengakap Malaysia nafi terlibat kes rasuah penganugerahan pingat di Perlis