TAIPING – Pencarian seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari bot fiber, berakhir apabila mangsa ditemukan lemas dekat Jeti Kuala Sepetang, di sini pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Aziz Bakar, 50, ditemukan oleh sekumpulan nelayan di kawasan tersebut.
Ujarnya, mangsa yang dilaporkan mempunyai penyakit tekanan darah rendah dan sering pitam itu disyaki lemas selepas terjatuh dari bot yang dinaikinya berhampiran dengan perairan laut Kuala Sangga dekat sini semalam sekitar jam 4.30 petang.
“Pihak bomba menerima panggilan pada jam 12.10 tengah malam tadi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping diatur gerak ke lokasi pada jam 8.26 pagi tadi.
“Mereka juga turut dibantu BBP Kemunting, Bagan Serai dan Kuala Kurau.
“Mangsa disedari hilang berikutan rakan mangsa menemui bot mangsa yang hanyut dan mereka cuba membuat pencarian, namun gagal.
“Selain itu, mangsa juga dilaporkan mempunyai penyakit tekanan darah rendah dan sering pitam,” katanya.

Justeru, ujar beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat, pihak bomba meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pagi ini.
Tambah Sabarodzi, anggota kemudiannya melakukan pemeriksaan dan membuka Pusat Kawalan Bomba (PKB) di jeti yang berhampiran.
“Pihak bomba dimaklumkan berhubung penemuan mayat mangsa pagi tadi oleh sekumpulan nelayan.
“Ketua operasi bersama dengan anggota menaiki bot nelayan ke lokasi kejadian untuk membuat pengesahan dan mengambil mayat.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.
Operasi berkenaan tamat pada jam 10.33 pagi.





