
TAWAU – Sesi dialog bersama para pengusaha stesen minyak anjuran Polis Tawau sebagai usaha memperkukuh keselamatan dan pencegahan jenayah di kawasan stesen minyak di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, program sebegini penting bagi mengeratkan kerjasama antara kedua-dua pihak.
“Program ini penting dalam meningkatkan kesedaran dan langkah pencegahan yang lebih proaktif kepada pengusaha setesen minyak.
“Pihak polis ingin memastikan setiap pengusaha stesen minyak dapat memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam meningkatkan rondaan di kawasan strategik yang dikenal pasti berisiko tinggi dalam menjaga keselamatan terutama masyarakat yang datang di kawasan mereka.
“Dalam program ini, polis turut mempromosikan aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) dan ‘QR Code’ Aduan Masyarakat kepada semua pengusaha stesen minyak bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah dengan segera.
“Program ini turut menyediakan slot soal jawab antara pengusaha meluahkan kebimbangan mereka berhubung isu keselamatan serta beberapa cadangan termasuk pemasangan lebih banyak lampu jalan di kawasan stesen minyak terpencil,” katanya menerusi siaran yang dimuat naik di laman Facebook Polis Daerah Tawau.
Tambahnya, kerjasama pihak polis dengan pengusaha stesen minyak melalui ‘Go To Safety Point’ (GTSP) yang menjadikan stesen minyak sebagai hab untuk mendapatkan bantuan semasa kejadian jenayah sebagai suatu bentuk manifestasi kepolisan komuniti.
Beliau juga memberi jaminan bahawa Polis Tawau komited untuk mengurangkan kadar jenayah melalui pendekatan mesra komuniti.
Katanya, perjumpaan seperti ini akan diadakan secara berkala bagi memastikan hubungan antara pengusaha stesen minyak dan pihak polis sentiasa kukuh.







