
KALABAKAN – Menerusi slogan ‘Demi Merotai Sejahtera’, calon PH bagi DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi menggariskan pelan pembangunan menyeluruh merangkumi lima tema utama dan 10 agenda khusus untuk rakyat di Merotai.
Lima tema berkenaan adalah pendidikan, kesihatan, ekonomi, sosial dan infrastruktur.
Beliau berkata, dalam tema pendidikan, pada jangka masa pendek satu hingga tiga tahun, beliau akan memberi tumpuan kepada Merotai sebagai Pusat Peradaban dan Perkembangan Ilmu selain pembinaan sekolah menengah baharu di Merotai.
“Seterusnya dari aspek ekonomi di mana mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih luas kepada anak-anak muda.
“Usaha ini kita perlu berkolaborasi dengan beberapa pihak termasuk Jabatan Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja untuk melaksanakan Karnival Kerjaya.
“Menerusi agenda kesihatan pula adalah keperluan Merotai agar mempunyai sebuah pusat rawatan Hemodialisis kerana dari Kabakan, Kijang, Brumas dan Umas, semuanya turun ke Tawau untuk mendapatkan rawatan.
“Saya sudah mengenal pasti tempat dan PIC (Person In Charge) atau doktor dan sekiranya perkhidmatan ini diwujudkan di Merotai, maka mereka yang jauh khususnya di Merotai tidak lagi perlu turun kerana kita tahu kesusahan B40 yang terpaksa turun ke Hospital Tawau seawal pukul 4 pagi untuk menerima rawatan,” katanya dalam sidang media di Kampung Haji Matahir, di Merotai.

Jelas Ruji, sekiranya diberi mandat dan diangkat sebagi ADUN, bilik gerakan utama PH Merotai ketika ini akan ditukar kepada Pusat Khidmat ADUN Merotai sesegera yang mungkin atas seruan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, sekiranya ianya direalisasikan, beliau juga akan melaksana ’mobile service’ iaitu perkhidmatan pusat khidmat secara bergilir dan berjadual sekitar DUN Merotai agar rakyat tidak perlu ke pusat khidmat untuk sebarang urusan.
“Dalam aspek sosial ini juga adalah keperluan pusat riadah atau mini kompleks sukan dan ini juga perlukan iltizam serta ADUN yang baik dengan Persekutuan dan Kementerian Belia Sukan.
“Yang terakhir adalah infrastruktur dan kita akan usahakan kerana kita mendengar keperluan masyarakat Merotai adalah lampu solar, jalan raya, bekalan air dan sistem perpaipan serta lain-lain,” katanya.





