KUANTAN – Laluan di hadapan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, dekat Triang, Bera, sentiasa sibuk dengan kenderaan.
Memandangkan kawasan itu menempatkan kira-kira 500 penghuni yang terdiri daripada warga emas, terdapat keperluan untuk membina bonggol jalan bagi memastikan kenderaan menggunakan laluan itu lebih berhati-hati.
Usaha untuk mendapatkan peruntukan dan pembinaan bonggol jalan itu dilakukan ahli majlis Majlis Daerah Bera (MDB), Zhang Yang Peng.
“Perkara itu mendapat perhatian pihak MDB dan selepas memperoleh peruntukan, dua bonggol jalan sudah siap dibina di situ.
“Saya harap ia dapat memberi keselesaan dan rasa selamat dalam kalangan warga emas yang menetap di rumah kebajikan berkenaan,” katanya.
![]()
Yang Peng memaklumkan, sebaik bonggol jalan itu siap, kenderaan menggunakan laluan terbabit perlu memperlahankan kenderaan mereka dan ia dapat memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.
Pengerusi Sang Riang, Yap Yoke Moey dalam perkembangan sama merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Peng atas usaha dan keprihatinan ahli majlis berkenaan.
“Seperti semua sedia maklum, rumah kebajikan kami menempatkan ramai warga emas dan keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan kami.
“Ini termasuklah berkaitan laluan di hadapan rumah kebajikan kami kerana banyak kenderaan menggunakan laluan ini.
“Saya harap dengan siapnya bonggol jalan ini, ia dapat memberi jaminan keselamatan kepada penghuni Sang Riang,” katanya.




