
KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan menerusi agihan Jalur Gemilang dan bendera Sabah kepada lebih 80 premis perniagaan di sekitar Jalan Gaya Street.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pengagihan bendera bukan sekadar simbolik, malah merupakan usaha mendidik orang ramai mengenai etika pemasangan bendera yang betul, di samping mencetuskan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat setempat.
“Kita mahu rakyat merasai suasana kemerdekaan bukan sahaja melalui hiasan visual, tetapi juga melalui penghayatan nilai-nilai kenegaraan.
“Sehubungan itu, DBKK turut menyeru semua pusat membeli-belah di sekitar Kota Kinabalu agar memainkan lagu-lagu patriotik di premis masing-masing sepanjang bulan Ogos ini,” katanya ketika ditemui media selepas sesi Walkabout Kibar Jalur Gemilang, di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, DBKK komited menjadikan Sambutan Hari Kebangsaan sebagai platform untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat dan menyemai rasa cinta terhadap tanah air, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Sebelum ini, DBKK telah melaksanakan program pengagihan bendera di kawasan tumpuan lain seperti Kampung Air, Bandaran, Sinsuran dan Segama, membabitkan beberapa kedai dan peniaga.
Program tahunan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif DBKK dalam menyokong Kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, seiring usaha memperindah bandar raya serta memupuk identiti nasional dalam kalangan warga Kota Kinabalu.






