
KOTA KINABALU – Semangat gotong-royong dan ukhuwah terus subur di Universiti Malaysia Sabah (UMS) apabila kemudahan Dapur Siswa universiti itu dimanfaatkan sepenuhnya menerusi penganjuran Aktiviti Rewang sempena bulan Ramadan, di Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) di sini, baru-baru ini.
Program yang disusuli dengan Majlis Berbuka Puasa ini anjuran Pusat Pengurusan Non-Resident dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) UMS dengan kerjasama Pengurusan Kolej Kediaman menghimpunkan kira-kira 150 pelajar yang masih meluangkan masa di kampus sebelum pulang bercuti.

UMS menerusi kenyataan hari ini berkata, kemeriahan program mula dirasai seawal pagi apabila kakitangan PNRF, barisan pengurusan kolej kediaman, felo, dan para pelajar berganding bahu memerah keringat memasak dan menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa secara beramai-ramai.
Jelasnya, menjelang waktu berbuka, majlis diserikan dengan pengisian rohani menerusi sesi tazkirah yang disampaikan oleh pendakwah dari Pusat Islam UMS, Ustaz Mohd Zakri Mainang.
Dalam ceramahnya, beliau mengingatkan para hadirin tentang kepentingan menghayati nilai kesyukuran, mengamalkan kesederhanaan, serta mengambil peluang pada bulan Ramadan untuk memperkukuh ikatan silaturahim.

Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Raman Noordin dan menzahirkan harapan agar inisiatif seumpama itu dapat dijadikan acara tradisi.
“Kita berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan bagi memperkukuh hubungan antara pihak pengurusan universiti, staf, dan pelajar.
“Ia secara tidak langsung menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan melalui aktiviti kebajikan dan kebersamaan di dalam kampus,” katanya.





