
DAP Sabah mengakui kekalahan di semua lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah mencerminkan kekecewaan penduduk negeri itu terhadap parti tersebut.
Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, kekalahan itu menjadi peringatan penting buat parti itu, justeru pihaknya mendengar suara kekecewaan penduduk Sabah berkenaan.
Dalam masa sama, ujar beliau, DAP Sabah juga akan melakukan post mortem secara menyeluruh dalam masa terdekat susulan kekalahan teruk itu.
“Namun begitu, kami akan terus berjuang demi Sabah yang sama-sama kita cintai.
“Terima kasih kepada semua rakan seperjuangan DAP Sabah. Walaupun sedih namun saya bangga dengan perjuangan dan khidmat DAP Sabah selama ini,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook miliknya, pada Sabtu.
Sementara itu, Jin Zhe yang turut tewas di DUN Likas berkata, DAP Sabah berharap seluruh penduduk negeri itu mengetepikan semua perbezaan politik dan kembali bersatu demi membina Sabah yang lebih maju dan sejahtera
Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat pukul 9 malam tadi, DAP tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandingi pada PRN17 Sabah iaitu masing-masing di DUN Elopura; Sri Tanjung; Luyang; Likas; Kapayan; Tanjong Papat; Tanjung Aru dan Kemabong.
Malah, kekalahan itu juga sudah diakui oleh Setiausaha Agungnya, Anthony Loke yang dalam kenyataan malam ini menerima dan keputusan yang dibuat para pengundi Sabah tersebut.
Pada PRN lalu, DAP menang enam daripada tujuh kerusi yang ditandingi iaitu di DUN Luyang, Likas, Kapayan, Sri Tanjong, Elopura dan Tanjong Papat.






