
KOTA KINABALU – DAP menerima keputusan rakyat secara terbuka selepas parti itu tewas di lapan kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya menghormati sepenuhnya keputusan pengundi dan mengucapkan tahniah kepada calon serta parti yang telah diberikan mandat oleh rakyat.
Beliau menegaskan bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kelemahan dan keputusan PRN kali ini.
“Sebagai Setiausaha Agung parti, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap segala kelemahan dan kegagalan DAP memenangi sebarang kerusi dalam PRN17 ini. Pucuk pimpinan parti akan mengambil iktibar daripada keputusan ini.
“Parti akan menilai semula segala kelemahan kami serta berusaha untuk memenangi semula sokongan rakyat pada pilihan raya akan datang,” katanya menerusk kenyataaan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, walaupun tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP Sabah masih mempunyai dua wakil di peringkat Parlimen.
“Kedua-dua Ahli Parlimen DAP akan melipatgandakan usaha serta gerak kerja di kawasan masing-masing iaitu Kota Kinabalu dan Sandakan bagi memastikan kepentingan rakyat terus dibela,” katanya.
DAP Sabah sebelum ini menyandang beberapa kerusi DUN namun kehilangan semuanya pada PRN kali ini, sekaligus mencerminkan perubahan gelombang sokongan pengundi di negeri tersebut.






