
PUTRAJAYA – Prinsip ‘penyandang’ menjadi kerangka panduan dalam pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kedua-dua gabungan itu mencapai kata sepakat untuk mengelakkan pertindihan calon bagi memastikan PH dan BN tidak bertanding menentang satu sama lain di mana-mana kawasan.
“PRN Sabah sekali lagi akan menjadi ujian dan cabaran dalam mengurus kerjasama kita dengan berkesan.
“Keadaan di Sabah lebih kompleks kerana terdapat banyak gabungan yang terbabit.
“Terdapat PH, BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain. Walaupun semuanya adalah sebahagian daripada Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan, perkara itu tidak semestinya terpakai di Sabah.
“Sekurang-kurangnya kami sudah bersetuju tidak akan ada pertembungan kerusi antara PH dan BN di Sabah,” katanya, lapor Berita Harian.
Loke mengesahkan persetujuan itu dicapai di peringkat kepimpinan tertinggi dalam satu mesyuarat baru-baru ini yang turut dihadiri Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Prinsip paling asas mesti kita pegang ialah prinsip ‘incumbency’ yang turut ditekankan oleh BN.
“DAP menyambut baik dan menyokong prinsip ini. Ia bermaksud dalam sebarang bentuk kerjasama pilihan raya, jika kita bekerjasama, tidak seharusnya ada pertindihan kerusi.
“Walaupun kita mungkin menggunakan logo berbeza, prinsip utama ialah kita tidak bertanding sesama sendiri.
“Sesiapa yang memenangi kerusi itu sebelum ini harus diberikan penghormatan dan sokongan untuk mempertahankannya,” katanya.