
KUANTAN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didesak memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan institusi diraja atas keterlanjuran beliau berhubung ucapan menyentuh isu kaum, agama, raja (3R) ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Lee Chin Chen berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu juga perlu menarik balik kenyataan dibuatnya itu.
Menurutnya, sebagai pemimpin, Muhyiddin harus lebih bijak dalam berkata-kata dan bukannya melibatkan diri dalam politik fitnah serta penghinaan terhadap institusi utama negara.
“Kita tidak boleh membiarkan kepentingan politik sempit merosakkan keharmonian dan kestabilan negara yang telah lama kita nikmati.
“Sebagai seorang ahli politik, Muhyiddin (seharusnya) bercakap berdasarkan fakta dan bukan sekadar membuat tuduhan melulu terhadap institusi diraja,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Chin Chen yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, menyatakan secara tegas bahawa kenyataan Muhyiddin mempertikaikan peranan dan keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri ke-10 adalah tidak bertanggungjawab dan berbahaya.
Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan kuasa kepada Agong untuk membuat keputusan ini berdasarkan Perkara 40(2) dan 43(2).
Tambah beliau, kenyataan Muhyiddin jelas satu penghinaan terhadap institusi diraja yang diamanahkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menjaga kestabilan dan kedaulatan negara.
Chin Chen turut memaklumkan Perkara 40(2) dan 43(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa yang jelas kepada Agong untuk melantik seorang Perdana Menteri yang pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Chin Chen berkata, Istana Pahang telah mengeluarkan kenyataan menegaskan kemurkaan, namun Muhyiddin masih enggan memohon maaf atau mengakui kesilapannya.
Katanya, sikap ini menunjukkan ketidakmatangan dan kegagalan untuk menghormati proses perlembagaan serta institusi diraja yang berperanan penting dalam memastikan kestabilan negara.