
SANDAKAN – UMNO Sabah menegaskan parti itu masih kekal relevan dalam politik negeri ini meskipun berdepan pelbagai cabaran, termasuk dakwaan kononnya parti itu sudah ketinggalan zaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Mokran Ingkat berkata, dakwaan tersebut hanya satu tuduhan berniat jahat yang cuba menggambarkan UMNO seolah-olah sudah hilang pengaruh.
“Saya mengambil maklum kenyataan Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kiulu, Datuk George Teo yang mendakwa UMNO Sabah masih terbuai dengan kegemilangan lalu dan hilang relevansi dalam politik negeri.
“Namun hakikatnya, UMNO masih mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.
“Jika benar UMNO sudah tidak relevan, sudah pasti rakyat tidak akan memilih calon parti ini untuk terus berada di Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, kemenangan UMNO di 14 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu adalah bukti jelas bahawa parti itu tetap menjadi pilihan rakyat.
Katanya, UMNO konsisten memperjuangkan isu rakyat sama ada berada dalam kerajaan mahupun sebagai pembangkang.
“Jawatan bukan dominasi, tetapi amanah yang dipikul untuk memastikan pentadbiran negeri lebih seimbang dan berkesan.
“Menuduh UMNO sebagai tamak kuasa adalah tuduhan tidak adil,” tegasnya.
Mokran berkata, serangan terhadap UMNO Sabah sebenarnya mencerminkan kegusaran lawan terhadap kebangkitan semula parti itu menjelang PRN akan datang.
Ini kerana katanya, UMNO Sabah tetap teguh, bersatu dan berakar umbi walaupun terdapat pemimpin yang meninggalkan parti demi kedudukan.
“Perjuangan UMNO bukan milik individu tetapi untuk agama, bangsa dan negara,” ujarnya.