KOTA KINABALU – Dadah jenis jus yang mengandungi Ketamin dan MDMA kini semakin popular diniagakan di pusat-pusat hiburan di Sabah, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Beliau berkata, dadah berkenaan dijual pada harga serendah RM700 hingga RM1,000 bagi setiap peket yang boleh dicampurkan dalam satu jag minuman.
“Trend penyalahgunaan dadah di negeri ini kita dapati terdapat tiga trend utama iaitu pertama dadah yang popular digunakan oleh penagih dadah di Sabah adalah jenis Syabu.
“Seterusnya bagi tujuan hiburan di pusat hiburan iaitu dadah jenis Ketamin, Ekstasi dan Erimin 5.
”Akhir sekali dadah jenis jus yang amat popular diniagakan di beberapa pusat hiburan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Jumaat.
Menurut Jauteh, pada 4 Julai lepas, Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik (JSJN) berjaya membuat rampasan terbesar dadah di sekitar bandar raya Kota Kinabalu dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM934,426.00.
“Antara yang dirampas adalah 12.7 kilogram (kg) Syabu, Ketamin 6.9kg, 25 peket jus Ekstasi dan 10 biji pil Ekstasi,” katanya.

Justeru, Jauteh menyeru kerjasama masyarakat bersama-sama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras jenayah dadah dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah.
“Sekarang ini kita memperkenalkan QR Kod Aduan Masyarakat di bawah JSJ yang boleh digunakan masyarakat untuk menyalurkan maklumat.
”Masyarakat tidak perlu khuatir untuk menyalurkan maklumat menerusi QR Kod tersebut kerana ia tidak memerlukan maklumat peribadi pelapor,” ujarnya.






