
IPOH – Seorang lelaki menemui ajal dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memotong kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Silibin Ria, di sini, berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuhraya Ipoh-Lumut pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian itu dilakukan mangsa berusia 27 tahun bersama dengan seorang lagi suspek yang masih bebas.
Bahkan, siasatan awal mendapati mangsa turut mempunyai 10 rekod lampau berkaitan jenayah kekerasan dan harta benda.
Ujar beliau, penemuan si mati dimaklumkan oleh orang awam sekitar jam 6.07 petang.
“Ketika kejadian terdapat saksi awam yang melihat dan sempat membuat rakaman video di tempat kejadian.
“Dalam rakaman itu menunjukkan si mati bersama seorang lagi suspek yang masih bebas sedang memotong kabel TNB.
“Dipercayai dengan tujuan mencuri dan secara tiba-tiba kebel tersebut meletup sehingga kedua-dua pengsan.
“Namun salah seorang suspek kemudiannya sedar, bangun dan melarikan diri menaiki motosikal jenis Honda C10,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujar Abang Zainal Abidin, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sementara itu, TNB turut membuat laporan polis berhubung kes kecurian terbabit.
Ujarnya, satu kertas siasatan selari telah dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu untuk menghubungi Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Sarjan Liyana Zulaikah Ibrahim di talian 019-7765 184 atau Sarjan Micheal Jevadas M Thrvasittham di talian 016-5325 208 bagi membantu siasatan.



