
SIBU – Pembangunan sukan akuatik di Zon Tengah Sarawak memasuki era baharu apabila projek Kawasan Pembelajaran Luar Berbumbung (COLA) di Kolam Renang Bukit Lima siap sepenuhnya.
Kemudahan itu membolehkan aktiviti latihan dan rekreasi kini dapat dijalankan dengan lancar tanpa perlu bergantung kepada faktor cuaca.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Khairul Nizam Morshidi berkata, penyiapan projek itu merupakan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh infrastruktur sukan di bahagian ini.
Menurutnya, ia bakal menyokong pembangunan atlet renang dan terjun secara lebih sistematik.
“Pembinaan bumbung COLA ini bertujuan memaksimumkan penggunaan kolam sedia ada oleh orang awam dan atlet.
“Ia juga bakal menjadi pusat latihan utama serta aset komuniti yang mampu memupuk gaya hidup sihat dan pembangunan bakat sukan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kemudahan itu kepada Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (SMC), Clarence Ting pada Isnin.
Mengulas lanjut, Khairul Nizam berkata, projek inisiatif kerajaan Sarawak itu telah dicadangkan sejak tahun 2017 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 8 Januari lalu.
Jelasnya, kompleks tersebut kini dilengkapi kolam renang bertaraf Olimpik dengan 10 lorong, kolam terjun dengan platform tiga dan lima meter serta kolam kanak-kanak.
“Selain itu, ia turut menyediakan dua astaka penonton (grandstand) serta kemudahan sokongan lain untuk keselesaan pengguna,” tambahnya.
Foto: Facebook Clarence Ting







