RAYAN Cherki membantu Manchester City melonjak ke persada Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menjaringkan gol kemenangan lewat permainan ketika The Citizens menewaskan Nottingham Forest 2-1, malam tadi.
Tuan rumah hampir memberi tamparan kepada harapan kejuaraan City selepas Omari Hutchinson menyamakan kedudukan, memadam jaringan pembukaan separuh masa kedua oleh Tijjani Reijnders.
Namun, Cherki muncul wira di penghujung perlawanan untuk meneruskan prestasi cemerlang City yang kini mencatat lapan kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.
Ia menyaksikan Forest mengalami kekalahan berturut-turut buat kali pertama di bawah kendalian Sean Dyche selepas tewas 0-1 kepada Fulham pada Isnin lalu.
Forest yang beraksi kental berjaya mengecewakan City pada separuh masa pertama, dengan gandingan Murillo dan Nikola Milenkovic tampil cemerlang di benteng pertahanan.
Namun, kekebalan gandingan itu berakhir hanya tiga minit selepas rehat apabila Reijnders tenang menyudahkan peluang melepasi penjaga gol, John Victor.
Malangnya, Reijnders menjadi punca gol penyamaan Forest enam minit berselang apabila kehilangan bola di hadapan kotak penalti sendiri, membolehkan Morgan Gibbs-White melancarkan serangan balas sebelum menemui Igor Jesus, yang seterusnya mencipta peluang kepada Hutchinson menjaringkan gol pertamanya bersama kelab itu.
Sebelum itu, City hampir menggandakan kelebihan apabila John Victor menepis percubaan kencang Cherki sebelum menyelamatkan percubaan Phil Foden.
Namun, penjaga gol Forest itu akhirnya tewas pada minit ke-83 apabila Cherki melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti yang tepat ke penjuru gawang, memastikan kemenangan berharga buat Manchester City.







