
SANDAKAN – Program Cashless Society anjuran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) memberi pendedahan kepada komuniti sekitar Karamunting mengenai kepentingan penggunaan aplikasi pembayaran tanpa tunai.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Datuk Chew Kok Woh berkata, objektif program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penggunaan transaksi tanpa tunai serta memperkasa komuniti dalam ekosistem digital dan keusahawanan.
Chew berkata, program berkenaan bukan sahaja mendidik penduduk mengenai e-dagang dan teknologi kewangan malah menjadi platform mempamerkan kreativiti penduduk kampung melalui jualan barangan tempatan.
“Saya berharap NADI akan terus melaksanakan program yang memberi manfaat kepada penduduk sekitar kawasan ini, termasuk Kampung Air, Bokara, Karamunting, Pening Lalat, Bukit Nanas dan Bandar Karamunting,” katanya ketika ditemui sempena Program Cashless Society bertempat di NADI Pekan Batu Sapi, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Musniati Siding, 41, berkata, pembayaran melalui kod respons pantas (QR) bukan sahaja menjimatkan masa malah lebih selamat berbanding membawa wang tunai.

“Bagi saya, pembayaran melalui QR sangat memudahkan. Saya tidak suka simpan duit secara tunai. Dengan QR, saya boleh bayar di mana-mana sahaja tanpa risau.
“Memang kita takut ‘scam’, tapi sebagai pengguna, kita kena bijak dan tahu bagaimana untuk elak ditipu,” katanya.
Sementara itu, Sabtu Jasman, 43, yang juga peniaga tempatan berkata, penggunaan QR memberi kelebihan kepadanya kerana tidak perlu lagi berurusan di bank.
“Saya tidak perlu ke bank lagi. Saya nasihatkan komuniti sekitar Karamunting daftar sahaja di booth bank yang sediakan perkhidmatan percuma tanpa perlu ke datang ke cawangan bank yang berdekatan” ujarnya.





