KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Caprice, memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, susulan kegagalan pihak berkenaan membuat permohonan maaf atau menurunkan hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi tuduhan palsu.
Dalam satu kenyataan semalam, Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli berkata, peguamnya Mohd Rezan Ezra, telah memfailkan writ saman bagi pihaknya dan dokumen berkenaan dijangka diserahkan kepada defendan esok.
Menurutnya, tindakan undang-undang itu diambil selepas dua surat tuntutan bertarikh 20 dan 23 Februari lalu dikeluarkan, yang antara lain menuntut permohonan maaf serta penyingkiran hantaran terbabit.
Caprice berkata, saman itu menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta, permohonan maaf secara terbuka serta perintah injunksi bagi menghalang Rafizi daripada mengulangi dakwaan sama.
Beliau turut menyatakan harapan agar tindakan undang-undang berkenaan dapat membersihkan namanya daripada tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.





