
KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN) PRK DUN Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah memberi jaminan akan meneruskan usaha pendahulunya, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain untuk menyelesaikan masalah banjir yang sekian lama menghantui penduduk setempat.
Menurut beliau, umum maklum di Kluang ini ada banyak kawasan yang banjir tetapi hasil bantuan daripada kerajaan negeri dan kerajaan Pusat telah menyelesaikan beberapa tempat terjejas sekali gus mengurangkan permasalahan banjir.
“Tetapi tidak dapat dinafikan juga sekiranya hujan lebat berterusan ada sesetengah tempat akan terkesan. Insya-Allah jika perkara ini perlu kita panjangkan atau kita perlu angkat bagi menyelesaikan masalah tempatan, kita akan usahakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyantuni pengundi di Gerai Majlis Perbandaran Kluang (MPK) pada Ahad.
Ditanya berkenaan projek tebatan banjir yang diperjuangkan Sharifah Azizah bersama Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi sebelum ini, Syed Hussien memaklumkan perkara itu akan dirujuk kepada kepakaran Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan MPK.
“Benteng? Insya-Allah kerana perkara ini kita perlu bertanya kepada pihak agensi yang mempunyai kepakaran seperti JKR, JPS bagi mendapat pandangan mereka terutamanya Majlis Perbandaran Kluang (MPK) itu sendiri,” jelas Ketua Pemuda UMNO Kluang itu lagi.
Semalam, media melaporkan PDRM turut bersiap-siaga bagi menghadapi kemungkinan situasi banjir semasa berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang bermula 14 hingga hari pengundian 28 September ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata ,seramai 38 pegawai dan anggota telah bersedia untuk mengatur gerak jika berlakunya banjir ketika waktu kempen mahupun pada hari pengundian dengan aset telah ditempatkan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
“Bot dan lori kita telah diletakkan di IPD Kluang bersama ‘man power’ dan akan bertindak sekiranya banjir berlaku,” katanya.