PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membentangkan cadangan kepada mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh dua bulan untuk mendapatkan persetujuan terhadap inisiatif menjadikan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebagai pembeli tunggal getah pekebun kecil.
Beliau berkata, ia adalah saranan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib bagi menjadikan RISDA sebagai pembeli tunggal getah untuk pekebun kecil.
“Ini adalah satu ‘game changer’ dan satu cadangan baharu dan saya meminta Ketua Pengarah dan juga Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan kertas kerja (untuk dibentangkan kepada mesyuarat) Jemaah Menteri dalam tempoh dua bulan ini untuk mendapat persetujuan,” katanya dalam satu majlis di Bangi, Selangor, petang tadi.
Ahmad Zahid berkata, langkah baharu ini adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan demi membela nasib pekebun kecil yang bergantung kepada harga lantai seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan belanjawan setiap tahun.
Terdahulu di dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, sehingga hari ini, lebih 500,000 pekebun kecil menjadi wira industri ini dengan menyumbang 89 peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah negara, jauh mengatasi sektor estet yang hanya menyumbang 11 peratus.








