
SANDAKAN – Cadangan pemimpin tempatan dan Koperasi untuk menaik taraf bazar di Sandakan ke Hab Keusahawanan akan diteliti, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, salah satu tumpuan lawatannya adalah sebuah bazar yang terletak di laluan Pan Borneo yang mengamalkan konsep Rehat dan Rawat (RnR).
Katanya, reka bentuk asal Lebuhraya Pan Borneo tidak menyediakan kemudahan RnR namun akan diperluaskan di kawasan lain dengan mempertimbangkan cadangan-cadangan dari pemimpin Sandakan.
“Ini akan membuka peluang untuk menaiktaraf premis-premis yang sedia ada untuk dibangunkan sebagai tempat yang lebih selesa untuk peniaga kecil, usahawan dan juga pengunjung yang menggunakan jalan raya.
“Dengan sokongan dana yang ada, diharapkan inisiatif pertama ini menjadi kenyataan yang sekali gus membuka peluang meningkatkan lagi kesejahteraan usahawan kecil setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Upacara Buka Mata Singa anjuran Koperasi Usahawan Libaran Sabah Berhad sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di Bandar Utama Batu 6, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Ewon turut menzahirkan penghargaan kepada pemimpin-pemimpin setempat di Sandakan seperti Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung dan Pengerusi Koperasi Usahawan Libaran Sabah Berhad, Dr. Peter atas usaha mereka dalam memastikan keperluan usahawan kecil di Sandakan terus mendapat perhatian daripada KUSKOP.





