KUALA LUMPUR – Cadangan penyatuan parti Melayu tidak seharusnya disalah tafsir oleh mana-mana pihak sehingga membarah dan menjadikannya sebagai langkah kebencian.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, seruan itu merupakan usaha yang positif dan tidak memberi ancaman kepada kaum bukan Melayu di negara ini.
“Itu adalah usaha yang baik tetapi (Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad) Akmal (Saleh) juga kata ini bukanlah perhimpunan kebencian.
“Ia sangat penting. Bukan satu usaha yang akan menjadikan kaum-kaum bukan Melayu rasa terancam. Saya rasa itu penting. Penyatuan Melayu tidak perlu menjadi suatu yang ditakutkan oleh orang lain.
“Jadi saya nampak usaha ini usaha yang murni dan saya harap usaha ini dapat menyatukan orang Melayu tetapi pada masa yang sama, macam Akmal kata tadi, janganlah menjadi satu agenda kebencian terhadap mana-mana kaum yang lain,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis.
Sebelum ini, Dr Mohamad Akmal pernah menyuarakan cadangan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) serta menggesa UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Khairy berpandangan gesaan Dr Mohamad Akmal agar UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan merupakan signal penting daripada Pemuda UMNO supaya prinsip parti tidak dilanggar oleh mana-mana pihak, termasuklah sekutu politik.
“Akmal kata dia sendiri nak mainkan peranan supaya prinsip UMNO itu dan juga garis merah UMNO tidak dilanggar oleh mana-mana pihak dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jadi, saya rasa apa yang Akmal buat hari ini sangat berprinsip. Dia kata, okay tak apa, kita akur bahawa kita terus menyokong kerajaan yang sedia ada.
“Tetapi pada masa yang sama, apa yang patut dibuat perlu dibuat. Dia ambil keputusan bahawa pemuda (UMNO) dan dia sendiri yang akan buat benda itu,” katanya.
Terdahulu, Dr Mohamad Akmal pada Khamis mengumumkan peletakan jawatan sebagai EXCO Melaka ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin itu berkata, peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang disandang sejak April 2023 itu akan berkuat kuasa pada minggu depan.
Media sebelum ini melaporkan, Dr Mohamad Akmal memberi bayangan sedia melepaskan jawatan Ketua Pemuda UMNO dan EXCO Kerajaan Melaka susulan kontroversi desakannya supaya parti itu mempertimbangkan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.








