
MUKAH – Padah terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah, seorang buruh tempatan ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Lintang, Balingian pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, suspek lelaki yang berusia 56 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.20 tengah hari.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan telah membawa kepada penemuan satu keratan tiub straw lutsinar.
“Tiub tersebut mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 0.34 gram,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis amphetamine serta methamphetamine.
“Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Tambah Muhamad Rizal, suspek kini ditahan reman selama tiga hari sehingga Khamis (9 April) bagi membantu siasatan.







