KUALA LUMPUR – Walaupun Persidangan Agung UMNO (PAU) 2025 boleh diikuti secara siaran langsung, kehadiran fizikal ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) tetap menjadi pilihan akar umbi parti yang menganggap pengalaman berada di lokasi membawa makna intipati lebih mendalam.
Meredah jarak, usia dan keletihan demi satu rasa yang tidak mampu disampaikan melalui skrin televisyen kerana itulah semangat perjuangan yang dimiliki oleh ahli sejati UMNO.
Perwakilan UMNO Simpang Jengka 8, Robiah Jusoh, 48 berkata, kehadiran sendiri membuka ruang untuk memahami perjalanan persidangan parti secara lebih menyeluruh berbanding hanya menonton di televisyen.
Beliau mengakui suasana PAU secara langsung memberikan pengalaman berbeza berbanding tontonan maya, malah perjalanan pergi dan balik pada hari sama tidak mematahkan semangat mereka untuk hadir.
“Kebiasaannya kami tengok di TV sahaja, tetapi kali ini kami bawa satu bas wanita dari daerah Jerantut. Walaupun ada yang berusia, semangat mereka untuk hadir sangat luar biasa.
“Bila datang sendiri, ‘wow factor’ itu memang terasa dan pengetahuan kita juga bertambah,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis.

Nada sama disuarakan Ketua Wanita UMNO Kuala Tahan, Afzan Khonopiah, 52, yang pertama kali menyertai PAU secara bersemuka selepas sekian lama mengikuti persidangan itu melalui kaca televisyen.
“Selama ini kita hanya melihat di TV, tetapi apabila datang sendiri ke WTCKL, kita dapat lihat dengan lebih jelas betapa hebatnya UMNO. Pengalaman ini sangat bermakna,” katanya.
Bagi Veteran UMNO yang dikenali sebagai Poksu Harun, 69, kehadiran ke PAU 2025 adalah satu tanggungjawab sebagai ahli parti yang tidak boleh dikompromi.

“Saya tidak pernah tinggal Perhimpunan Agung UMNO sejak menyertai parti. Bagi orang parti seperti saya, kita perlu datang melihat realiti bagaimana PAU bersidang.
“Kalau penyokong mungkin memadai tonton, tetapi sebagai ahli, kehadiran itu penting,” katanya.
Sementara itu, Ahli Wanita UMNO Kampung Tawar Kedap, Kedah, Salmah Harun, 73, sanggup menaiki bas sejak lewat malam demi merasai sendiri suasana persidangan parti.

“Saya bertolak jam 11.30 malam dan sampai jam 6 pagi. Datang sini lebih seronok kerana semangatnya berbeza berbanding tengok di televisyen. Ini kali pertama saya hadir dan insya-Allah saya akan datang lagi tahun depan,” katanya.
Bagi Rosnah Md Ghani, 57, kehadiran ke PAU tetap menjadi keutamaan walaupun terpaksa datang dan pulang pada hari sama kerana komitmen peribadi.
“Saya setiap tahun hadir. Walaupun tahun ini pergi balik hari dan tidak bermalam kerana urusan, saya tetap mahu datang. Bila hadir dan melihat sendiri persidangan ini, ia memberi satu kepuasan.
“Biar mata sendiri memandang, telinga sendiri mendengar. Saya tidak mahu dengar cakap orang,” katanya.

Bagi akar umbi dari Melaka, Robiah Baba, 67, PAU adalah medan penting untuk menyatukan kekuatan parti dan memperteguh roh perjuangan.
“Kalau saya tak datang, rasa macam ada yang tidak lengkap. Di sinilah ahli UMNO berkumpul, dengar mandat presiden dan ketua sayap. Bila kita berkumpul, kita jadi lebih kuat dan padu. Inilah bukti UMNO masih utuh,” katanya.




