
NIAH – Pelantikan Boniface Bada sebagai Temenggong Iban Bahagian Miri diraikan dalam satu majlis kesyukuran penuh bermakna di Dewan Masyarakat Sepupok, pada Ahad.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom yang turut menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan institusi tradisional masyarakat Iban di bahagian ini.
Dalam ucapannya, Temenggong Boniface mengingatkan pemimpin akar umbi, khususnya Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ahli Majlis supaya benar-benar mendalami tanggungjawab yang diamanahkan.
“Pemimpin perlu mengamalkan komunikasi yang berkesan dan sentiasa peka dengan isu-isu setempat.
“Kerjasama erat antara pemimpin dan penduduk adalah kunci utama bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan komuniti dapat dicapai dengan jayanya,” katanya.
Majlis kesyukuran itu turut menekankan kepentingan memelihara nilai tradisi dan keharmonian, selain memperkasakan peranan pemimpin peringkat bawahan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat selaras dengan aspirasi pembangunan Miri.
Kehadiran ramai jemputan termasuk penduduk rumah panjang mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap kepimpinan baharu Temenggong Boniface.
Turut hadir, Residen Bahagian Miri, Galong Luang; Pengerusi Majlis Daerah Marudi, Kaunselor Edward Mendai; pegawai-pegawai daerah serta barisan Pemanca, Penghulu dan Tuai Rumah dari seluruh Miri.
Foto : Facebook YB Datuk Penguang Manggil





